Kesan rumah hijau ialah pemanasan yang berlaku apabila kepekatan gas-gas rumah hijau di dalam sesuatu ruang tertutup meningkat dan menyekat haba daripada mudah terbebas. Kesan ini tidak tertakluk pada pemanasan global sahaja, tetapi juga di dalam mana-mana ruang.
Kesan ini merujuk kepada fenomena dunia mengalami pemanasan akibat haba terperangkap dalam bumi.Haba ini terperangkap oleh kehadiran beberapa jenis gas terutamanya gas karbon dioksida yang bertindak sebagai selimut yang meliputi atmosfera bumi.
Kesan rumah hijau global berlaku apabila, sinaran inframerah matahari yang memasuki ruang atmosfera bumi tidak terpantul secukupnya secara normal disebabkan kesan rumah hijau. Ini akan menyebabkan pemanasan global secara berperingkat, dan kawasan yang mengalami pencemaran teruk akan mengalami kesan itu dengan lebih teruk lagi. Implikasi daripada pemanasan global akan menyebabkan lapisan ais di kedua-dua kutub bumi akan mengalami pencairan dan menyebabkan peningkatan aras laut.
Kesan rumah hijau banyak berlaku di bandar-bandar. Keadaan ini disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil, penggunaan tenaga elektrik untuk pendinginan, cahaya dan radiasi matahari telah menyebabkan suhu bandar meningkat pada waktu siang.